Serbuan terhadap kerja haram catat rekod tertinggi seluruh UK

Tindakan serbuan bagi memulihkan sistem imigresen itu bergerak selari dengan bantahan rakyat United Kingdom sendiri terhadap sentimen kemasukan warga asing. - Foto AP
LONDON: Serbuan dan tangkapan berkaitan kerja haram mencecah rekod tertinggi di United Kingdom (UK), menurut angka baharu Home Office yang dikeluarkan pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Data menunjukkan lonjakan mendadak dalam aktiviti penguatkuasaan, dengan serbuan meningkat 77 peratus manakala penahanan 83 peratus dari Julai 2024 hingga Disember 2025.
Lebih 17,400 serbuan dijalankan pada syarikat yang disyaki menggaji pekerja secara haram.
Menurut Home Office operasi itu merangkumi premis seperti kedai rias kuku, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut, yang disifatkan kementerian itu sebagai sektor-sektor kerja haram yang boleh disalah guna untuk memberi gaji rendah kepada pekerja jujur selain mengaburi pandangan pihak berkuasa.
Peningkatan aktiviti itu membawa kepada lebih 12,300 penahanan, menurut data kerajaan itu.
Di Ireland Utara, aktiviti penguatkuasaan turut meningkat dengan ketara. Sebanyak 187 serbuan pada 2025 yang membawa kepada 234 tangkapan direkodkan iaitu peningkatan 76 peratus dalam serbuan dan 169 peratus dalam tangkapan berbanding 2024.
Menurut kerajaan, tindakan tegas itu antara usaha "memulihkan sistem imigresen" dan mengurangkan insentif bagi orang ramai memasuki UK secara haram, termasuk mereka yang tiba dengan bot kecil.
Kementerian itu memaklumkan tindakan penguatkuasaan terhadap kerja haram dilaksanakan sebagai antara langkah yang lebih luas untuk menyingkirkan orang yang tidak berhak berada di UK.
"50,000 pendatang tanpa izin telah dikeluarkan dan dihantar pulang, peningkatan 23 peratus di bawah kerajaan semasa," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


