Tidak wujud sebarang keperluan untuk kerajaan menjalankan kajian bagi melihat kaedah wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dibelanjakan oleh penerima buat masa ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata, kerajaan yakin golongan sasar yang menerima bantuan tersebut seperti isi rumah berpendapatan rendah (B40) telah membelanjakan wang itu untuk tujuan sepatutnya seperti membeli barangan keperluan asas.

"Pada masa ini, ia terpulang pada pilihan penerima (bagaimana untuk membelanjakan BR1M), dan kita yakin penerima dari golongan B40, kebanyakan mereka perlukan wang ini untuk membeli barang keperluan asas," katanya menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) di Parlimen hari ini.

Shabudin meminta Kementerian Kewangan menyatakan langkah bagi memastikan matlamat bantuan BR1M tercapai, iaitu meringankan beban rakyat, terutamanya B40, untuk membelanjakan wang tersebut ke arah yang sepatutnya, dan bukan untuk tujuan lain.

Tambah Tee Yong, kerajaan juga tiada rancangan menukar BR1M dalam bentuk baucar atau subsidi kerana dikhuatiri wujud permasalahan lain seperti pasaran gelap.

Kemahiran dan taraf hidup

Menjawab soalan tambahan Shabudin mengenai usaha mengurangkan pergantungan rakyat terutamanya golongan B40 terhadap BR1M pada masa akan datang, Tee Yong berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa program untuk meningkatkan kemahiran dan taraf hidup rakyat bagi membolehkan mereka menikmati pendapatan yang lebih tinggi.

"Dari segi tingkatkan pendapatan golongan B40, dalam Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia Ke-11, jelas menunjukkan kerajaan ingin menumpukan bagaimana untuk meningkatkan daya kemahiran rakyat melalui program seperti latihan vokasional dan Skim Latihan 1Malaysia, serta kenaikan gaji minimum.

"Ini adalah antara usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan Pekali Gini (Gini Coefficient)," katanya.

Beliau berkata, selain BR1M, kerajaan turut menyediakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat terutamanya golongan B40 seperti Bantuan Persekolahan, Baucar Buku 1Malaysia, kemudahan Klinik dan Kedai Rakyat 1Malaysia, serta menaikkan had pelepasan cukai bagi kumpulan isi rumah berpendapatan sederhana (M40).

Tambah beliau, sejak BR1M diperkenalkan pada tahun 2012, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM14 bilion yang memanfaatkan keseluruhan hampir 7.4 juta penerima setiap tahun.