MALAYSIA
Tiada keperluan PH bermesyuarat untuk pilih pengganti Maszlee - Bersatu

Dr Maszlee pada Khamis mengumumkan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan dalam satu sidang media khas di kementerianya. - Gambar fail/Astro AWANI
Tidak wujud keperluan untuk Pakatan Harapan (PH) bermesyuarat bagi memilih Menteri Pendidikan yang baharu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Perkata itu ditegaskan Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Malah, katanya Perdana Menteri juga tidak perlu membincangkan pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian.
"Menurut Perkara 43 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.
"Ini bermakna adalah menjadi prerogatif atau hak budi bicara Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pelantikan seorang menteri," katanya.
Beliau mengulas reaksi beberapa pihak yang secara terbuka mencadangkan nama-nama calon Menteri Pendidikan yang baharu serta cadangan pelantikan pengganti Dr Maszlee Malik itu dibincangkan dalam mesyuarat PH.
Justeru katanya, semua pihak perlu menghormati prerogatif atau hak budi bicara Perdana Menteri untuk melantik Menteri Pendidikan yang baharu.
"BERSATU berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam apa jua keputusan beliau berhubung pelantikan Menteri Pendidikan yang baharu demi kemajuan pendidikan negara," ujarnya lagi.
Dr Maszlee pada Khamis mengumumkan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan dalam satu sidang media khas di kementerianya sebaik sahaja menerima nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami