KUALA LUMPUR: UMNO berpendirian bahawa tiada keperluan untuk menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), seperti yang dicadangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu bukan mudah untuk dilaksanakan dan ia perlu dibawa ke Jemaah Kabinet.

“Usaha untuk dibuat menteri KPKT iaitu nak jadi tapak UNESCO itu memang bukan sesuatu yang mudah dan ia perlu perundingan dan dibawa ke Kabinet.

“… Dan jika perlu, ia (cadangan itu) perlu dibawa sehingga ke Parlimen untuk diluluskan.

“UMNO merasakan itu tidak ada keperluan untuk mewujudkan Kampung Baru (Cina) sebagai tapak UNESCO,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Bagaimanapun, ia mengundang kritikan pelbagai pihak yang mendakwa cadangan berkenaan boleh menimbulkan ketidakharmonian kaum di negara ini.

Sementara itu, UMNO dalam kenyataan semalam menolak sekeras-kerasnya cadangan tersebut, dengan Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.