Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kes penyakit Kawasaki yang menjangkiti kanak-kanak positif COVID-19 di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, meskipun penyakit yang dikaitkan dengan keradangan saluran darah yang bermula dengan tanda demam dan ruam itu bukanlah sesuatu yang biasa, namun masyarakat dinasihati untuk mengelakkan jangkitan terbabit kepada kanak-kanak dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ia bermakna orang ramai perlu terus mematuhi SOP yang ditetapkan di bawah PKPB termasuk penjarakan sosial terutamanya melibatkan mereka yng berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya perlu dilindungi," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, hari ini.

Noor Hisham menambah, pencegahan adalah lebih baik dan orang ramai perlu mematuhi SOP dalam kehidupan seharian.

Dalam perkembangan berasingan beliau memberitahu, sebanyak 369 pasar awam di seluruh negara telah diperiksa dengan 31,315 pekerja dan peniaga aiaitu bersamaan dengan 78.8 peratus telah menjalani ujian saringan.

Katanya, daripada jumlah itu, 263 individu disahkan positif.