KUCHING: "Tidak ada kesan sampingan sejak semalam malah nampak lebih cergas lagi," demikian pendedahan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada media pada sidang media Majlis Pelancaran Program Imunisasi Kebangsaan Sarawak di Stadium Perpaduan, Kuching pada Sabtu.

Ketua Menteri Sarawak itu kemudiannya memaklumkan bahawa dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech itu akan diterima beliau pada 19 Mac depan.

Tambahnya, kehadiran beliau di pelancaran program imunisasi itu juga membuktikan bahawa suntikan vaksin itu selamat.

"Saya ingin nak berkongsi pengalaman saya kepada orang ramai. Setelah menerima dos pertama, kehadiran saya pagi ini di stadium membuktikan bahawa suntikan vaksin tersebut selamat," katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari menyeru seluruh rakyat Sarawak supaya tidak takut untuk tampil menerima vaksin COVID-19 yang telah diluluskan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) demi mencapai imuniti kelompok.

Dalam tempoh tujuh bulan program imunisasi itu katanya, kerajaan memberi jaminan untuk menyediakan vaksin kepada 2.2 juta penduduk Sarawak sama ada warganegara dan bukan warganegara.

Selain itu, melihat kepada cabaran geografi Sarawak Abang Johari berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM30 juta bagi menampung kos logistik untuk memastikan penduduk di pedalaman mendapat vaksin.

"Saya telah bersetuju kerana negeri kita begitu luas logistiknya, jadi kosnya tinggi. Kerajaan Pusat juga meminta kita membantu.

"Oleh itu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM30 juta untuk kita memberikan kemudahan menghantar vaksin ke tempat-tempat pedalaman. Maknanya semua rakyat akan disuntik dengan vaksin ini," jelasnya.