Selepas 16 hari dari tarikh perhimpunan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta, tiada sebarang laporan diterima berhubung kemungkinan kes COVID-19 dari lokasi itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, apa yang dikesan sehingga hari ini merupakan kes berkaitan perhimpunan sewaktu Hari Raya Aidiladha seperti Kluster Sivagangga, Kluster Kurau, Kluster Seri Menanti, dan paling terkini Kluster Tawar.

“Kita tidak melihat sebarang trend kes meningkat secara mendadak (dari lokasi atau perhimpunan berkenaan).

“Apa yang penting ialah tiada laporan diterima berkaitan dengan perhimpunan tersebut. Tetapi kita masih memantau…tindakan kita adalah menjalankan pemantauan setiap masa,” katanya dalam sidang media Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

BACA: Kes positif COVID-19 di Indonesia kini 132,816, kematian 5,968

BACA: COVID-19: 15 kes baharu dicatat, tiada pertambahan kematian

Pada 28 Ogos lepas, ribuan penyokong bekas Perdana Menteri itu berhimpun di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk menunggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes melibatkan penyelewengan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd.

Jumlah kehadiran penyokong yang tinggi menimbulkan kegusaran sesetengah pihak ekoran kemungkinan wujud kluster baharu.

Semalam, Ahli Parlimen Pekan memuat naik catatan dalam Facebooknya mengatakan kemungkinan besar tiada “Kluster Najib” tercetus memandangkan tempoh 14 hari inkubasi COVID-19 telah berlalu.

Sumber Facebook najibrazak