Tiada kompaun bagi aktiviti 'dine-in' di Kota Kinabalu - Datuk Bandar

Eleanor Michelle Patrick
Julai 4, 2021 07:19 MYT
Salah sebuah restoran makanan di Kota Kinabalu yang membuka kembali aktiviti dine in hari ini. - Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti 'dine-in' di restoran dan premis menjual makanan di sini.
Perkara itu disahkan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Nooliza Alip ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut ketetapan berkenaan dan meminta merujuk kembali kenyataan yang diberikannya kepada sebuah akhbar tempatan Sabah semalam.
Akhbar Daily Express pada Sabtu melaporkan Nooliza memaklumkan keputusan membenarkan aktiviti dine in di Kota Kinabalu selari dengan pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Jun lalu yang membenarkan lebih banyak perniagaan di negeri itu beroperasi.
Hajiji antara lain mengumumkan kelonggaran SOP melibatkan beberapa sektor aktiviti sosial dan ekonomi sempena pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1.
BACA: Sabah benarkan dine-in di restoran dan gunting rambut mulai esok
Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) mengenainya mencetuskan kekeliruan ramai.
Ia disusuli teguran daripada Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengingatkan kerajaan negeri untuk tidak melonggarkan SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
BACA: Kerajaan negeri tidak boleh longgarkan SOP - Ismail Sabri
BACA: Keputusan longgarkan SOP di Sabah perlu dilihat secara positif - Bung Moktar
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataannya baru-baru ini mendedahkan permohonan SOP negeri telah dihantar kepada Kerajaan Persekutuan untuk perwartaan.
#Sabah #dine in #COVID-19 #Majlis Keselamatan Negara #SOP #ismail sabri yaakob #Masidi Manjun #Ketua Menteri #Kota Kinabalu #ekonomi