HULU TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan berkompromi dengan peniaga yang menaikkan harga barangan ketika pengguna berpusu-pusu membeli barangan persiapan raya sebaik sahaja  pengumuman dibuat Ahad lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata peniaga sepatutnya bertimbang rasa kerana dalam keadaan terdesak orang ramai tetap membeli walaupun pada harga yang mahal kerana terpaksa dan tiada pilihan.

Dalam masa yang sama, beliau turut memuji tindakan sesetengah peniaga yang sanggup  melewatkan masa perniagaan sehingga awal pagi bagi memberi kesempatan kepada orang ramai membeli barangan keperluan hari raya.

"Setakat yang saya pantau secara peribadi di Kuala Berang,ayam  ada peningkatan sedikit  harga walaupun kita tetapkan pada RM8.90 tapi ada pengguna beli pada harga RM11 sekilo, satu benda yang tidak sepatutnya.

"Dari segi laporan rasmi, saya kena periksa sebab kita masih bercuti jadi data rasmi berapa kes yang dilakukan berkaitan perlanggaran Skim Harga Maksima Musim Perayaan ini," katanya.

Tambahnya lagi, tindakan boleh diambil ke atas peniaga yang tidak bertanggungjawab itu  di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan  2011.

Beliau ditemui ketika mengadakan rumah terbuka yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di kediamannya di Hulu Terengganu hari ini.