Skip to main content

Malaysia

Tiada kompromi, kes rasuah Azam Baki disiasat dengan telus - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 2 Mac -- Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar turut menjelaskan bahawa setiap kes yang melibatkan penjawat awam atau individu berkepentingan perlu melalui proses yang ditetapkan, bermula dengan laporan rasmi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan bahawa sebarang dakwaan terhadap mana-mana individu berhubung kes rasuah, termasuk pemimpin negara, perlu disiasat secara menyeluruh dan telus sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, siasatan ini merangkumi semua aspek, termasuk dakwaan pemilikan saham dan tohmahan berkaitan “mafia korporat”, yang tidak akan ditutup atau diketepikan.

Advertisement

“Kita jangan buruk sangka. Biar siasatan dijalankan dan fakta diperoleh terlebih dahulu. Jangan hukum sebelum proses selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai pendirian kerajaan berhubung isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Seri Azam Baki di Dewan Rakyat pada Selasa.

Anwar turut menjelaskan bahawa setiap kes yang melibatkan penjawat awam atau individu berkepentingan perlu melalui proses yang ditetapkan, bermula dengan laporan rasmi sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Beliau menambah bahawa skop siasatan kini diperluaskan bukan sahaja merangkumi prosedur pentadbiran biasa tetapi juga aspek yang lebih luas demi memastikan ketelusan sepenuhnya.

Menurut beliau, laporan yang diterima termasuk isu pemilikan saham dan tomahan yang dilaporkan media antarabangsa seperti Bloomberg akan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang tindakan diambil.

“Saya telah jelaskan, ikut prosesnya dahulu. Mengapa perlu ada pandangan yang terlalu keras terhadap satu pihak, sedangkan kita hanya meminta supaya prosedur dipatuhi?” tegas Perdana Menteri.

Beliau menekankan bahawa mekanisme sedia ada membolehkan siasatan dijalankan secara berperingkat, termasuk peringkat Peguam Negara dan boleh dilanjutkan jika didapati siasatan awal tidak mencukupi.

Tambahnya, keputusan untuk melanjutkan siasatan juga boleh dibuat melalui jemaah menteri bagi memastikan setiap bantahan dan isu yang dibangkitkan ditangani dengan teliti.

Perdana Menteri menegaskan bahawa sikap kerajaan konsisten sejak dulu hingga kini, iaitu setiap tuduhan perlu disiasat berdasarkan fakta dan bukti, tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

Beliau menegaskan bahawa proses siasatan adalah selaras dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan, bagi mengekalkan integriti dan keadilan dalam setiap keputusan.

Anwar juga menyatakan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan sebarang pandangan peribadi atau tohmahan mempengaruhi proses siasatan, demi memastikan semua pihak diperlakukan adil.

Beliau menekankan komitmen kerajaan untuk memastikan siasatan dijalankan profesional, bebas dan berlandaskan undang-undang, tanpa melindungi mana-mana pihak atau tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

Must Watch Video