IPOH: Kerajaan negeri tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati memalsukan sijil vaksinasi COVID-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin, tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melakukan perkara tersebut.

"Sudah tentu jika ada yang memalsukan sijil vaksinasi tindakan tegas akan diambil dengan segera.

"Sekarang ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk pihak bertanggungjawab sentiasa melakukan pemantauan.

"Kita tidak akan berkompromi kepada pihak yang cuba bertindak memalsukan sijil vaksinasi COVID-19 di negeri ini," katanya.

Mohd Akmal berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan alat bantuan pernafasan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Kompleks Rawatan Harian HRPB di sini semalam.

Jelasnya lagi, bagaimanapun setakat ini tiada kes diterima berhubung perkara itu.

Sementara itu, beliau berkata suntikan dos penggalak COVID-19 menunjukkan sambutan yang baik dalam kalangan rakyat di sini.

"Setakat ini seramai 527,964 orang sudah menerima suntikan dos penggalak.

"Keseluruhan setakat ini kira-kira 4 juta dos vaksin (termasuk dos pertama dan kedua) yang diberikan di negeri Perak," katanya.

Terdahulu, Mohd Akmal berkata, sebanyak dua unit alat bantuan pernafasan (ventilator) daripada bandar raya Nanning, China melalui Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diserahkan kepada hospital itu.

Katanya, kedua-dua peralatan yang dianggarkan bernilai RM136,000 itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya serta mampu membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa.

"Peralatan ini diterima pada 17 Disember lalu dan ia digunakan di HRPB.

"Penawaran dua unit ventilator pihak bandar raya Nanning, China ini tepat pada masanya yang mana ia secara tidak langsung membantu perkhidmatan kesihatan khususnya di HRPB untuk memerangi wabak COVID-19," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan mengumumkan terdapat jemaah umrah dari Malaysia yang pulang ke tanah air disahkan positif COVID-19 varian Omicron dan apa yang mengejutkan ada antara mereka tidak divaksinasi.