NATIONAL
Tiada kompromi terhadap rasuah, salah guna kuasa dalam kerajaan - PM Anwar

Menurut Anwar, Kerajaan Perpaduan komited untuk memerangi penyalahgunaan peruntukan kerajaan, termasuk manipulasi tender dan penyelewengan dana pembangunan. - Foto Bernama
BACHOK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dan rasuah, sama ada dalam kalangan pegawai kerajaan, mahu pun ahli politik.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perpaduan tidak akan bertolak ansur terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan dan ahli politik.
- Kerajaan komited untuk memerangi penyalahgunaan peruntukan kerajaan, termasuk manipulasi tender dan penyelewengan dana pembangunan.
- Anwar menegaskan bahawa proses keadilan dijalankan mengikut sistem perundangan negara, dengan SPRM menyiasat, Peguam Negara mendakwa, dan mahkamah memutuskan hukuman.
"...kerana kalau sistem ini tidak betul, dapat hasil negara banyak sekali pun, ia akan hilang jika masing-masing sibuk nak kayakan diri sendiri. Kalau mahu berniaga, silakan, tetapi jangan guna kedudukan dalam kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata jawatan dalam kerajaan tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk mengumpul kekayaan peribadi.
"Nak berniaga, berniaga betul-betul, tapi kalau guna kedudukan dalam kerajaan, saya tak izinkan. Ini bukan jawatan untuk jadi kaya, bukan Perdana Menteri mesti kaya," katanya.
Mengulas dakwaan pilih kasih dalam pendakwaan, Anwar berkata proses keadilan dijalankan mengikut sistem perundangan negara.
"Walaupun ada yang kata pilih kasih, itu bukan kerja saya. Yang menyiasat ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mendakwa ialah Peguam Negara, dan yang putuskan (hukuman) itu adalah mahkamah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami