KUALA LUMPUR: Pelancong ke Pulau Langkawi tidak lagi perlu menjalani ujian saringan RT-PCR atau RTK-Antigen berkuat kuasa, hari ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas kementeriannya menyemak semula keperluan pengujian status jangkitan dan mendapati peratusan pelancong yang dikesan positif semasa saringan adalah sangat rendah.

"Mengambil kira peratus pelancong yang dikesan positif semasa saringan yang sangat rendah, Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk memberhentikan keperluan ujian pengesanan COVID-19.

"Pemberhentian keperluan menjalani ujian oleh pengembara ke Langkawi ini berkuatkuasa mulai 12 Oktober 2021 (hari ini)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Bagaimanapun Khairy berkata, sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri, para pelancong digalakkan untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.

Namun katanya, syarat wajib bagi melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan perlu dipatuhi.

Khairy memberitahu, sehingga 10 Oktober lalu seramai 54,341 pelancong menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan daripada jumlah itu hanya 216 atau 0.4 peratus sahaja yang dikesan positif jangkitan itu.

"Hanya seorang pelancong yang mengalami gejala semasa di Langkawi dan didapati positif COVID-19 melalui ujian RT-PCR.

"Siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi. Tiada kluster COVID-19 yang berpunca dari gelembung pelancongan di Langkawi," jelasnya.

Katanya, keputusan itu juga adalah selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan rentas negeri kepada mereka yang melengkapkan vaksin dua dos tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis. Ia termasuk untuk perjalanan pulang ke kampung dan sektor pelancongan  bermula Isnin lalu.

Sementara itu, Khairy memberitahu, bagi individu yang disahkan positif dan sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan atau individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani perintah kuarantin dan pengawasan, masih tidak dibenarkan melancong.

"Bagi mereka yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema, dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan," tambahnya lagi.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan projek rintis gelembung pelacongan Langkawi mulai 16 September lalu dan bagi memastikan kesejahteraan sektor pelancongan, setiap pelancong diwajibkan menjalani ujian pengesanan COVID-19 sama ada RT-PCR atau RTK-Antigen.