Kementerian Luar menerima maklumat melalui sumber kedua bahawa beberapa rakyat Malaysia telah diganggu secara seksual oleh beberapa diplomat asing di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra bagaimanapun berkata setakat ini, tiada laporan dikemukakan kepada kementerian atau kepada Jabatan Protokol yang mengendalikan hal ehwal perwakilan asing di Malaysia.

Kenyataan itu menyatakan bahawa Wisma Putra memandang serius dakwaan gangguan seksual itu terutamanya yang melibatkan kor diplomatik di Malaysia.

"Mana-mana individu yang menjadi mangsa jenayah oleh mereka yang dilindungi di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 perlu menggunakan mekanisme sedia ada untuk mengemukakan aduan kepada Kementerian Luar.

"Kementerian memberi jaminan kepada semua pihak bahawa, walaupun ada kekebalan, terdapat ruang bagi semua kementerian hal ehwal luar (Kementerian Luar) untuk melaksanakan penyelesaian secara adil berhubung perkara berkaitan kesejahteraan dan keselamatan individu berkenaan.

"Kementerian akan menyusul tindakan terhadap dakwaan serius ini bagi memastikan kepentingan semua pihak dipelihara," kata Wisma Putra.

Selain talian telefon selepas waktu pejabat, individu juga boleh menggunakan saluran emel [email protected] untuk menyalurkan aduan mereka.

Menurut laporan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan mendakwa wanita-wanita tempatan yang bekerja sebagai kakitangan kedutaan asing di Kuala Lumpur berdepan dengan gangguan seksual di tempat kerja mereka.

-- BERNAMA