KUANTAN: Tidak ada doktor kontrak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini terbabit dengan gerakan mogok yang bertemakan Mogok Black Monday yang dijadualkan di seluruh negara pagi Isnin.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar hospital terbabit seawal jam 8 pagi sehingga kini mendapati dalam suasana tenang dan berkeadaan baik.

Malah, tiada kumpulan doktor kontrak melintasi perkarangan pusat rawatan harian HTAA.

Sepanjang pemerhatian, jumlah pesakit yang mendapatkan khidmat rawatan juga ramai sejak awal pagi.

Pengawal keselamatan di hospital terbabit juga memaklumkan tiada sebarang arahan daripada pihak pengurusan untuk mengawal ketat hospital terbabit.

Difahamkan mogok doktor kontrak Malaysia yang diadakan pada Isnin hingga Rabu, walaupun dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mogok doktor Malaysia menerusi hantaran di Instagram meminta semua pihak yang menyokong gerakan yang dilakukan untuk memakai pakaian berwarna hitam.

Sementara itu, di Johor Bahru keadaan di Hospital Sultanah Aminah ( HSA) agak tenang dan aktiviti harian berjalan seperti biasa.

Hujan pada sebelah pagi, menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas untuk memasuki hospital berkenaan.

Tinjauan yang dilakukan wad kecemasan, mendapati berada di dalam keadaan baik dan menerima pesakit seperti biasa. - Sinar Harian