Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan meneliti semua input yang diperolehi pada sesi libat urus bersama semua kerajaan negeri sebagai panduan kementerian sebelum Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) dibentangkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi sesi tersebut pihaknya mendengar pandangan, hala tuju dan aspirasi yang digariskan setiap kerajaan negeri dalam memastikan projek-projek yang bakal dilaksanakan dalam tempoh tersebut berjalan lancar dan mengikut jadual.

Tegasnya sesi libat urus itu penting bagi mengelak banyak projek tergendala dan terbengkalai dalam RMK sebelum ini.

"Mungkin projek tergendala ini kerana tidak dapat perbincangan awal kerajaan negeri ini projek yang mungkin dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri.

"Sebab itu penting sebelum kita gubal dokumen, harus dengar dulu hanya dengan penglibatan projek ikut jadual dan inilah yang kita lakukan," kata Mohamed Azmin selepas majlis Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri bagi menyediakan Rancangan Malaysia ke 12 (RMK12) yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan ketua-ketua jabatan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, kementeriannya akan memastikan tidak ada negeri yang akan terpinggir daripada mendapat manfaat menerusi RMK12 termasuk Pulau Pinang.

Katanya, Pulau Pinang adalah negeri penting sebagai rakan strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan pertemuan yang diadakan di negeri itu pada Jumaat adalah amat positif.

Pelbagai cadangan dikemukakan oleh kerajaan negeri antaranya menaik taraf beberapa buah hospital awam di negeri itu seperti Hospital Sungai Bakap.

Pelan RMK-12 itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga tahun hadapan sebelum diguna pakai mulai tahun 2021 untuk tempoh lima tahun.