Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) tidak memaksa ahli-ahlinya menaikkan tambang bas sekolah seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Presidennya, Amali Munif Rahmat pada Selasa berkata, sebaliknya persekutuan itu menyerahkan kepada para pengusaha bas untuk menimbang keputusan yang terbaik bagi mereka.

Bagaimanapun, katanya bagi sebahagian pengusaha bas sekolah, tambang tersebut tetap dinaikkan meskipun tiada pengumuman dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung kenaikkan itu.

Bercakap kepada Astro AWANI, beliau memberitahu setakat ini kira-kira 50 peratus pengusaha bas sekolah telah pun bersetuju menaikkan kadar tambang mereka sebanyak RM5 hingga RM10 ke atas kadar yang sebelumnya.

Manakala, menurut Amali yang selebihnya mengambil sikap untuk menunggu kadar kenaikkan tambang bas baharu seperti yang dimaklumkan oleh SPAD pada bulan lepas.

Katanya, kenaikkan yang dibuat itu tertakluk kepada pengusaha-pengusaha tersebut serta berdasarkan rundingan yang telah dibuat oleh mereka dengan ibu bapa murid-murid sekolah yang berkenaan.

"Kita bukan paksa mereka naikkan tambang tersebut... kenyataan yang sebelum ini pun adalah untuk memastikan SPAD buat kerja," kata Amali ketika ditanya mengenai pengusaha yang berkeputusan untuk tidak menaikkkan tambang mereka.

Menurut beliau, walaupun kadar yang diminta kepada SPAD adalah 40 peratus, tetapi bagi PPBSM adalah memadai jika kenaikkan itu hanya 30 peratus.

Namun begitu, katanya selagi SPAD tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi PPBSM tidak dapat memuktamadkan keputusan mereka berhubung kenaikkan tambang itu.

"Sebahagian berkeputusan untuk naikkan tambang, sebahagian lagi kata tunggu dulu... tunggu tambang baru. Kita dah bincang dengan SPAD, tetapi selagi tak ada kenyataan rasmi kita tidak boleh membuat sebarang keputusan muktamad," tambah Amali.

Pada 14 Disember lalu, PPPBSM memaklumkan akan menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40% mulai 1 Januari 2014 jika SPAD tidak mengumumkan kenaikan kadar baru sehingga hujung tahun 2013.

Amali dalam kenyataan tersebut berkata, ini kerana lebih 10,000 bas sekolah yang berada di bawah persekutuan itu sudah tidak dapat menampung peningkatan kos operasi dan sekiranya perkhidmatan diteruskan mereka akan menanggung rugi.

Pada 26 November lalu pula, pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya akan memperhalusi permohonan tersebut kerana setiap keputusan yang akan diambil adalah melihat kepada kepentingan semua pihak.

Syed Hamid berkata, tidak semudah itu untuk pihaknya meluluskan kenaikan tambang bas sekolah kerana jumlah yang diminta bukan kecil serta mungkin tidak dipersetujui pihak lain dan pengusaha bas sekolah sebelum ini mengenakan bayaran kepada pelanggan mereka lebih daripada apa yang telah dipersetujui bersama SPAD.

Kata Syed Hamid lagi, mereka berani melakukan perkara tersebut kerana tahu perkhidmatan bas sekolah merupakan satu keperluan setiap ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah dan keadaan itu membuatkannya tidak ada pilihan lain.

Sementara itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Selasa memaklumkan sehinggi kini pihaknya belum meluluskan sebarang surcaj dan tambang baharu bas sekolah seperti dilapor akhbar harian baru-baru ini.

Suruhanjaya itu, dalam kenyataannya menjelaskan bahawa keputusan yang dicapai dengan wakil Persatuan-Persatuan bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) dan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) ialah tiada surcaj atau kenaikan tambang bas sekolah sehingga SPAD mengumumkan skim baharu bas sekolah pada Mac 2014.

"Pada masa ini SPAD dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan skim tambang baharu bas sekolah dengan mengambil kira tiga elemen penting.

"Oleh itu, semua pengusaha perlu mengekalkan struktur tambang semasa seperti yang diluluskan Lembaga Perlesenan Kenderaan Komersial pada Ogos 2009," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata tiga elemen berkenaan termasuk mengadakan sesi pertemuan dengan persatuan ibu bapa dan guru serta melihat skim baharu itu untuk meningkatkan pendapatan pemandu bas sekolah.

SPAD juga melihat kemungkinan menggunakan kuasa pasaran untuk mentransformasi industri bas sekolah yang akan meningkatkan persaingan sihat di kalangan pengusaha dari segi harga tambang serta tahap perkhidmatan yang lebih baik.

"Adalah penting tiga elemen itu dikaji secara teliti supaya apa-apa keputusan kerajaan tidak akan membebankan ibu bapa dan pada masa sama memastikan industri bas sekolah berdaya maju dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti," kata kenyataan itu.