Tiada pelajar bawah agensi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terjejas akibat pencemaran di Pasir Gudang.

Dalam masa sama, semua institusi pendidikan MARA termasuk taska, tabika, MRSM, Giat Mara dan UniKL telah ditutup sejak dua hari lepas sebagai langkah berjaga-jaga.

Perkara demikian dijelaskan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Majlis Sambutan Hari Pendidik Mara 2019 hari ini.

“Semua pelajar bawah agensi MARA telah pulang ke rumah, kecuali pelajar UniKL yang sedang menduduki peperiksaan,” kata Rina.

Pelajar UniKL tersebut dialihkan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menduduki peperiksaan mereka.

Pelajar bawah agensi MARA termasuk 557 dan 23 kanak-kanak masing-masing di tabika dan taska di Pasir Gudang.

Ia juga membabitkan 514 dan 23 kanak-kanak masing-masing di Tebrau.

Bagi tahap pendidikan tinggi pula, terdapat dalam 1500 pelajar dari UniKL, Giat Mara dan MRSM yang berada di sekitar Pasir Gudang.

Pelajar-pelajar tersebut turut diberikan topeng muka atau ‘face mask’ bagi mengelak daripada jangkitan akibat pencemaraan berkenaan.

“Apa-apa langkah menyusul akan mengikut arahan Kementerian Pendidikan,” kata Rina.

Sejak Khamis lalu, murid sekolah di sekitar Pasir Gudang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

Ia dipercayai satu kes pencemaran berbeza daripada kes di Sungai Kim Kim yang berlaku pada Mac lalu.