ALOR SETAR: Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) memaklumkan bahawa tiada aktiviti pembalakan di sekitar kawasan Taman Eco Rimba Puncak Janing di Kuala Nerang sehingga menyebabkan sumber air masyarakat menjadi keruh seperti yang tular di media sosial Khamis lepas.

Pengarah JPNK Muhamad Abdullah berkata kekeruhan sumber air masyarakat di perkampungan sekitar hutan lipur itu sebaliknya disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama yang sedang dilaksanakan untuk kegunaan kakitangan jabatan tersebut.

"Taman Eco Rimba Puncak Janing adalah sebuah hutan lipur yang diurus oleh JPNK dan terletak di Kompartmen 41 Hutan Simpan Bukit Perangin.

"Penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama itu ialah bagi kegunaaan kakitangan untuk menjalankan aktiviti pra pelesenan untuk kelulusan kawasan pembalakan di Kompartmen 42 dan kompartmen 43 Hutan Simpan Bukit Perangin," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata aktiviti itu telah menyebabkan kekeruhan kepada aliran anak sungai yang mengalir ke Taman Eco Rimba Puncak Janing.

"Pada masa sama, taburan hujan yang agak tinggi di kawasan itu telah menyumbang kepada kekeruhan air sungai tersebut," katanya.

Muhammad berkata bagi menangani masalah kekeruhan bekalan air masyarakat di situ, JPNK telah mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama tersebut dihentikan serta-merta.

Pada Khamis lepas, isu mengenai dakwaan berlaku aktiviti pembalakan di Taman Eko Rimba Puncak Janing tular di media sosial menerusi hantaran pemilik Facebook dikenali sebagai Lann Kopnai dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

-- BERNAMA