NATIONAL
Tiada penyakit berjangkit dikesan susulan penemuan bangkai merpati di Padang Ipoh

Sejumlah besar bangkai burung merpati ditemui di sekitar kawasan pancuran air di Padang Ipoh, Perak baru-baru ini. - Gambar/ Facebook Sham Ridzuan II
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan tiada penyakit berjangkit dikesan atau kematian baharu dilaporkan, susulan penemuan sejumlah besar bangkai burung merpati di sekitar kawasan pancuran air di Padang Ipoh, Perak baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan tiada penyakit berjangkit atau kematian baharu dilaporkan selepas penemuan sejumlah besar bangkai burung merpati di Padang Ipoh, Perak. Ujian awal untuk Avian Influenza (AI), Newcastle Disease (ND), dan Adenovirus adalah negatif.
- Bedah siasat menunjukkan beberapa penemuan signifikan seperti perubahan warna hati dan pendarahan pada trakea dan paru-paru. Sampel organ dalaman telah dihantar untuk analisis makmal, dan ujian keracunan sedang dijalankan oleh Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
- DVS akan terus memantau situasi di Padang Ipoh untuk melindungi keselamatan awam dan sektor penternakan. Orang ramai diminta melaporkan segera kepada DVS jika menemui bangkai burung atau haiwan lain yang mencurigakan.
"Sampel organ dalaman seperti hati, jantung, buah pinggang, limpa, paru-paru, usus dan trakea telah dihantar untuk analisis makmal. Pada masa ini, ujian keracunan sedang dijalankan oleh Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian," menurut kenyataan itu.
DVS memaklumkan kesimpulan akhir kematian burung tersebut hanya dapat dibuat selepas menerima keputusan ujian keracunan daripada Jabatan Kimia.
"Sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk melindungi keselamatan awam serta sektor penternakan negara daripada risiko penyakit bawaan haiwan, DVS akan terus menjalankan pemantauan terhadap situasi semasa di Padang Ipoh," menurut kenyataan itu.
Jabatan itu meminta orang ramai untuk melaporkan segera kepada DVS berhampiran atau menghubungi talian 03-88702041, sekiranya menemui bangkai burung atau haiwan lain yang kelihatan luar biasa atau mencurigakan.
Sebelum ini, kandungan video mengenai penemuan sejumlah besar bangkai burung merpati di sekitar kawasan pancuran air di kawasan riadah tumpuan penduduk sekitar Ipoh itu, tular di media sosial.
DVS mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhubung kejadian pada Ahad lepas, dengan DVS Perak telah melawat tapak kejadian dan melakukan siasatan pada hari sama.
"Pemerhatian awal mendapati terdapat banyak bangkai burung merpati di kawasan berkenaan, namun burung lain di lokasi sama kelihatan sihat dan normal," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami