Tiada peperiksaan ganti akan dikenakan kepada pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini.

Demikian jelas Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin yang turut menekankan bahawa penilaian terhadap tahap penguasaan murid hanya akan dilakukan berdasarkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Untuk kesemua pelajar tingkatan tiga dan tahun enam, tidak akan ada peperiksaan ganti untuk tahun ini.

“Ini kerana, penilaian untuk semua pelajar ini boleh dilaksanakan melalui penilaian bilik darjah dan guru-guru telah melakukan penilaian ini untuk satu tempoh yang panjang,” jelasnya ketika ditemu bual oleh Agenda AWANI pada Isnin.

BACA: COVID-19: UPSR, PT3 tahun 2020 dibatalkan

Sementara itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan sebuah pentaksiran khas bagi kumpulan murid yang berhasrat untuk ke sekolah khusus seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Kata Dr Mohd Radzi, kaedah baharu itu tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata dan akan melihat kepada potensi murid daripada pelbagai aspek.

“Satu pentaksiran khas akan dilakukan untuk anak-anak yang berhasrat ke sekolah khusus ini dan pentaksiran ini akan dibuat bukan semata-mata bergantung kepada akademik.

“Kita perlu melihat penilaian ini dalam konteks lebih menyeluruh bagi melibatkan pelbagai aspek pelajar,” jelas beliau lagi.

Pada masa ini, pilihan tersebut sedang diteliti secara mendalam bagi memastikan kaedah yang digunakan akan merangkumkan keseluruhan potensi murid tanpa bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

Bagaimanapun, murid yang tidak berhasrat untuk ke sekolah khusus, mereka tidak perlu mengikuti kaedah baharu yang akan diperkenalkan kelak, jelas Dr Mohd Radzi.