KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang peruntukan khusus kepada Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam, beliau berkata yayasan itu berstatus 'existing' di dalam Daftar Syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga kini.

"Berdasarkan Penyata Tahunan 2022, jenis perniagaan yang dijalankan oleh YKP adalah 'research, document, disseminate and publicise the intellectual legacies of our past Prime Minister and to develop, manage and operate a resource centre and library to achieve the objectives of the Foundation (menyelidik, mendokumentasi, menyebar dan menghebahkan warisan intelektual Perdana Menteri kita yang lepas, di samping membangunkan, mengurus serta mengendalikan sebuah pusat sumber dan perpustakaan, bagi mencapai objektif Yayasan).

"Dalam hal ini, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang peruntukan khusus yang disalurkan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) mengenai status YKP sekarang kerana didapati bekas perdana menteri ketujuh masih lagi berada di bangunan YKP, dan berapa perbelanjaan yang dikeluarkan kerajaan setiap tahun untuk YKP.

Menjawab soalan mengenai keberadaan bekas perdana menteri ketujuh di Bangunan YKP di Putrajaya, Armizan berkata perkara itu adalah disebabkan sebahagian ruang dalam bangunan itu disewa oleh Jabatan Perdana Menteri untuk dijadikan Pejabat Urus Setia bekas perdana menteri itu.

"Penyediaan ruang pejabat bagi kegunaan bekas Perdana Menteri adalah selaras dengan kelayakan Elaun dan Keistimewaan bagi bekas Perdana Menteri seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237)," katanya.

-- BERNAMA