SHAH ALAM: Tiada sebarang petunjuk positif ditemui polis berhubung kehilangan bekas personaliti televisyen, Zalina Azman, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dua wanita mirip Zalina yang ditemui sebelum ini termasuk seorang di Jalan Haji Salleh, Sentul di sini kira-kira pukul 6 petang, pada Jumaat ialah gelandangan.

Menurutnya, semakan cap jari di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ke atas wanita yang ditemui pada Jumaat itu mendapati wanita itu berasal dari Pahang, malah pengecaman yang dilakukan ahli keluarga Zalina juga negatif.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan rasmi kecuali laporan semalam (Jumaat) yang dibuat menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

"Kita hanya menerima maklumat di laman sosial seperti Facebook dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Mohd Iqbal berkata, polis turut menjalankan semakan termasuk melakukan pemeriksaam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan Zalina diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam di talian 016-337 5269 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini tular di media sosial yang bekas pengacara program Money Matters itu ditemui di lokasi berbeza sekitar Shah Alam seperti Seksyen 3, Seksyen 9.

Antara dakwaan tular dalam media sosial ialah seorang wanita mirip Zalina pernah dilihat mengunjungi sebuah restoran seolah-olah berada dalam keadaan tidak sihat dan menggigil ketakutan.

Satu lagi dakwaan tular ialah kelibat wanita seperti Zalina pernah dilihat di sekitar kawasan sebuah restoran makanan segera dengan membawa beg makanan dan beg pakaian, selain memakai kasut sukan dan hanya berjalan kaki, serta berkeadaan sangat kurus.

Bagaimanapun, semakan polis mendapati kesemua wanita itu adalah gelandangan yang sama.

Zalina dilaporkan hilang selepas anaknya, Mikhael Norman, 33 gagal menghubunginya sejak 24 November lalu bagi memaklumkan bahawa bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.