Keputusan kerajaan negeri Sarawak menutup sementara laluan penerbangan dua hala Sibu-Kuala Lumpur sehingga 14 April adalah bagi membendung penularan COVID-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata langkah itu diambil kerana kerajaan negeri belum mempunyai pusat kuaratin yang sesuai bagi menempatkan penumpang yang tiba di lapangan terbang tersebut.

“Kita belum dapat mengenal pasti tempat-tempat atau hotel-hotel yang sesuai (untuk dijadikan pusat kuarantin), jadi atas sebab itu tindakan penutupan sementara diambil,” katanya pada sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin

Sementara itu, Abdul Karim juga mengumumkan bahawa bermula Ahad, semua warga Bumi Kenyalang yang tiba dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan ditempatkan di pusat kuarantin di lokasi ketibaan mereka.

Setakat Ahad ujarnya, bilangan individu di bawah kategori individu di bawah pemantauan (PUS) adalah seramai 87 orang di Kuching ditempatkan di satu lokasi, manakala 94 lagi ditempatkan di dua lokasi berbeza di Miri.

Selain itu, katanya, Sarawak mencatatkan sembilan kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 273 kes.

Daripada bilangan tersebut, lapan kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Bintulu (satu kes).

Sebanyak 76 kes baharu individu dalam siasatan (PUI) turut dilaporkan menjadikan jumlah kes PUI terkini adalah 1,705 kes.