KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan melakukan u-turn berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan selepas nahas helikopter di Sarawak, sebaliknya menegaskan komitmen terhadap perkara itu kekal konsisten sejak 2023.
Beliau berkata laporan sebuah portal kesihatan semalam yang mendakwa beliau melakukan reversal adalah tidak tepat dan gagal menggambarkan rekod serta konteks yang sebenar.
Dr Zaliha turut menjelaskan usaha berterusan telah dilakukan sepanjang menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata seawal Februari 2023, beliau telah menyatakan secara terbuka bahawa cadangan penubuhan suruhanjaya tersebut merupakan antara perkara penting yang sedang dipertimbangkan dalam draf akhir Kertas Putih Kesihatan.
"Malah pada April 2023, portal berita yang sama turut melaporkan pertemuan saya bersama wakil Hartal Doktor Kontrak (HDK), dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan telah dibincangkan dalam kerangka kertas putih tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai jawapan beliau di Parlimen pada 15 Jun 2023 yang didakwa sering disalah tafsir, Dr Zaliha berkata kenyataan tersebut merupakan penjelasan mengenai batas kuasa sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan berdasarkan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan penubuhan fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan meliputi urusan pelantikan, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tatatertib, namun penubuhan suruhanjaya tidak memberikan kuasa untuk mewujudkan jawatan baharu atau merangka sistem saraan termasuk menetapkan kadar emolumen yang lebih kompetitif.
“Pada masa sama, saya menerangkan penubuhan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan yang baharu melibatkan proses yang rumit, termasuk keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan serta sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Itu adalah penjelasan mengenai struktur, bidang kuasa dan kekangan model yang ada pada ketika itu. Ia bukan penolakan mutlak terhadap usaha menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan,” katanya.
Dr Zaliha berkata rekod selepas Parlimen pada Julai 2023 menunjukkan beliau mengesahkan secara terbuka bahawa kerajaan tetap akan menubuhkan suruhanjaya tersebut dan sedang mengkaji model terbaik.
Beliau berkata komitmen itu diterjemahkan pada Oktober 2023 apabila KKM menubuhkan Kumpulan Kerja Teknikal (KKT) khusus bagi memperincikan kaedah dan mekanisme terbaik untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan
Dr Zaliha mengulangi pendiriannya mengenai kebajikan petugas kesihatan tidak pernah berubah dari dahulu hingga sekarang, serta menegaskan sebarang pembaharuan sistem perkhidmatan kesihatan, termasuk penubuhan suruhanjaya berkenaan, perlu dilaksanakan segera dengan struktur kuasa yang benar-benar mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi warga kesihatan.
Menurut laporan media semalam, Dr Zaliha menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan suruhanjaya itu susulan nahas helikopter KKM di Long Lellang, Sarawak, namun portal berkenaan menyifatkan gesaan tersebut sebagai tindakan “U-turn”.
-- BERNAMA