KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menafikan terdapat unsur sabotaj terhadap program RXZ Members 5.0 susulan operasi khas motosikal diadakan di sekitar daerah ini dan Kuala Nerus bermula 8 hingga 9 September lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu berikutan menerima aduan orang ramai berhubung tindakan segelintir peserta himpunan yang menunggang motosikal secara berbahaya selain mengganggu ketenteraman awam.

"Operasi ini dijalankan disebabkan rungutan dan kemarahan daripada masyarakat di negeri ini akibat tindakan segelintir peserta yang menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya sekali gus boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

"Selain itu, ia menyebabkan gangguan ketenteraman awam terutama melalui kawasan hospital di mana ekzos diubah suai telah keluarkan bunyi amat kuat sehingga pesakit di hospital serta penduduk tinggal berhampiran jalan terganggu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu pada Ahad.

Pada Sabtu, beberapa netizen menerusi hantaran di media sosial mempertikai kewajaran PDRM membuat sekatan jalan raya yang banyak sehingga mengganggu kelancaran program RXZ Members 5.0 selain mendakwa terdapat unsur sabotaj terhadap program tersebut.

Mengulas lanjut, Mazli berkata, tiada desakan daripada mana-mana pihak atasan untuk adakan operasi bersepadu pada hari kejadian dan tindakan diambil selepas menerima banyak aduan daripada masyarakat.

Beliau menegaskan agar tidak mempolitikkan isu berkenaan kerana tindakan dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada.

"Kita tidak sabotaj mana-mana program malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi lain amat menyokong apa jua acara diadakan yang boleh memberi impak besar kepada ekonomi dan sosial di negeri ini, asalkan ia tak langgar undang-undang sedia ada.

"Sekiranya mereka langgar undang-undang sedia ada maka kami sebagai pihak berkuasa akan ambil tindakan sepatutnya secara profesional," ujarnya.

Sementara itu, Mazli berkata, sebanyak 185 motosikal ditahan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi diadakan selama dua hari bermula Jumaat lepas.

Menurutnya, sebanyak 292 saman dikeluarkan sepanjang operasi tersebut dan antara kesalahan direkodkan ialah tiada cermin sisi, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikuti spesifikasi ditetapkan serta tiada lesen memandu

"Sepanjang operasi itu juga kita dapati 73 kemalangan berlaku melibatkan empat kes kemalangan maut," ujarnya. - Sinar Harian