MALAYSIA
Tiba masanya takrif semula kerjasama Asia Tenggara, Eropah secara setara dalam hubungan dan perdagangan - PM Anwar

Anwar menyampaikan ucapan di Universiti Sorbonne, Paris, 4 Julai 2025. --fotoBERNAMA
PARIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa keperluan untuk mentakrifkan semula hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah, sebagai setara, mencorakkan masa depan bersama dan rakan kongsi dalam hubungan dan perdagangan, dalam dunia yang mendambakan keseimbangan.
Ringkasan AI
- Anwar Seru Hubungan Setara Asia TenggaraEropah - Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa agar hubungan antara Asia Tenggara dan Eropah ditakrifkan semula sebagai rakan setara, berasaskan hormat dan persefahaman bersama, bukan hierarki atau dominasi.
- ASEAN Maju & Sumbang Kepada Keamanan Serantau - Anwar menekankan pencapaian ASEAN dalam pertumbuhan ekonomi, integrasi serantau, diplomasi dan pengurusan konflik, walaupun masih berdepan isu seperti krisis Myanmar.
- Kerjasama Perdagangan & Keselamatan Harus Adil - Asia Tenggara menyokong kerjasama dengan Eropah, tetapi menolak pendekatan tidak seimbang. Perdagangan dan keselamatan perlu berasaskan prinsip keadilan, fleksibiliti dan kesaksamaan tanpa paksaan atau diskriminasi.
Anwar berkata rantau ini menggalakkan perdagangan dan pelaburan antara rantau dengan pesat, meningkatkan daya tahan ekonomi dan daya saing negara anggota.
Selain itu, beliau berkata terdapat banyak yang boleh dipuji dari segi tumpuan ASEAN terhadap diplomasi dan kerjasama serantau, yang menjadi lambang kepada pemusatan dan pendekatan multilateralisme yang progresif.
Beliau berkata selain daripada krisis di Myanmar, usaha ini telah menjana kemajuan besar dalam membantu menangani ketegangan antara negara, mengurus konflik dan menggalakkan membuat keputusan secara kolektif dalam krisis serantau.
Sebaliknya, Anwar berkata pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bukan sahaja menggugat keselamatan benua itu, malah andaian sedia ada -- mengenai pencegahan, kebergantungan dan keupayaan keamanan.
"Peperangan yang dianggap mustahil oleh ramai menjadi perhitungan yang memusnahkan ilusi tentang keamanan yang kekal dan mengingatkan kita walaupun di Eropah, sejarah boleh berulang. Namun, kita tidak lupa bahawa walaupun sejarah boleh membebaskan, ia juga boleh memenjarakan.
"Oleh itu, Eropah kini berdepan dengan ketidaktentuan dalam pakatan yang telah lama terjalin.
"Dalam perdebatan mengenai perbelanjaan ketenteraan dan tekad bersama yang menjadi nyata, tunjang kepada pakatan merentasi Atlantik sedang diuji melalui kaedah yang tidak dilihat selama beberapa generasi.
"Projek Eropah, yang dirancang untuk menamatkan peperangan melalui integrasi, kini mendapati perlu menilai semula keupayaan pertahanan, kedaulatan teknologi dan keselamatan tenaganya," kata beliau.
Sehubungan itu, Anwar berkata walaupun Asia Tenggara mengalu-alukan kerjasama Eropah dan kehadirannya yang semakin meningkat di rantau ini, antaranya melalui hubungan yang semakin berkembang dengan ASEAN, ia perlu dilaksanakan dengan betul mengikut terma yang setara.
"Kami yakin ini adalah masa yang sesuai kepada perbincangan yang terbuka dan teliti mengenai terma kerjasama kita -- yang tidak berdasarkan hierarki namun berlandaskan sikap hormat-menghormati dan persefahaman bersama," kata Perdana Menteri.
Mengenai perdagangan, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa perdagangan sewajarnya menjadi penghubung, bukannya penghalang.
"Dalam membina kerjasama yang bermakna bagi Asia Tenggara dan Eropah, hubungan ekonomi kita perlu berpandukan prinsip yang sama seperti yang kita harapkan dalam aspek keselamatan: hormat, fleksibiliti dan kawalan diri," kata beliau.
Perdana Menteri berkata Asia Tenggara menghormati sepenuhnya hak Eropah untuk menetapkan peraturan yang mencerminkan nilainya.
"Bagaimanapun, apabila peraturan itu menutup ruang kepada pihak lain, walaupun tanpa niat, kita perlu berbincang secara terbuka mengenai akibatnya.
"Kami tidak meminta keistimewaan. Kami hanya mahukan Eropah menerima kami seadanya, bukan mengikut acuan model mereka. Apa yang kami cari bukanlah keistimewaan, tetapi keadilan. Bukan pengecualian, tetapi kesaksamaan," kata Anwar.
Sehubungan itu, walaupun Asia Tenggara menyambut baik kerjasama dengan Eropah, Anwar menegaskan ia mestilah berdasarkan sikap hormat-menghormati dan kesetaraan.
Perdana Menteri berkata rantau ini menolak sikap merendah-rendahkan pihak lain, strategi pembendungan geopolitik dan mengheret kebimbangan dari negara luar melanda ke Asia Tenggara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami