MALAYSIA
Penubuhan Suruhanjaya Data langkah penting lindungi data secara menyeluruh - Gobind

Menteri Digital Gobind Singh Deo sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Data ialah langkah penting dalam memastikan tadbir urus, pematuhan piawaian serta keberkesanan perlindungan data secara menyeluruh di negara ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Ringkasan AI
- Menteri Digital Gobind Singh Deo mengumumkan rancangan menubuhkan Suruhanjaya Data sebagai badan pengawal selia khusus untuk memperkukuh tadbir urus dan perlindungan data negara, selaras dengan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 20262030 di bawah RMK13.
- Suruhanjaya ini akan mengisi kekosongan kawal selia data di luar skop data peribadi dan memastikan penggunaan teknologi seperti AI tidak menjejaskan privasi awam, dengan prinsip audit, reka bentuk privasi, dan kawalan manusia..
- Malaysia sedang memuktamadkan pelan AI yang menekankan etika, keselamatan dan keseimbangan antara inovasi serta hak privasi, berpandukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan Akta Keselamatan Siber 2024.
"Di sinilah kita lihat bagaimana kita boleh memastikan bahawa ada mekanisme yang boleh melihat kepada risiko itu dan juga ambil tindakan as we go along. Kita melihat kepada meluaskan perkara itu (kawal selia data) dan itu sebab kita sebut berkenaan dengan (penubuhan) Suruhanjaya Data.
"Kita nak pastikan kita ada piawaian tertentu, ia perlu diikuti. Kita ada peraturan tapi juga perlu dilaksanakan, undang-undang itu juga perlu kita laksanakan ... ia memang dalam rancangan, bergerak ke hadapan saya harap kita dapat melihat Suruhanjaya Data itu ditubuhkan dengan segera," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Gobind menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung komitmen kerajaan untuk menubuhkan badan semakan khas atau jawatankuasa bebas untuk memastikan penggunaan teknologi seperti AI tidak menggugat data peribadi atau privasi orang awam.
Beliau berkata penubuhan Suruhanjaya Data itu akan mengisi kekosongan dalam landskap pengawalseliaan dengan menyediakan satu badan berautoriti penuh yang mengendalikan isu-isu berkaitan data di luar skop data peribadi.
Suruhanjaya itu juga akan mewujudkan satu platform yang lebih jelas dari segi struktur tadbir urus sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap tahap keselamatan data negara.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GRS-Sri Aman) berhubung langkah kerajaan memastikan penggunaan AI dalam keselamatan siber mematuhi prinsip etika dan hak privasi, Gobind berkata Malaysia sedang memuktamadkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan.
Beliau berkata pelan itu menetapkan rangka tadbir urus yang jelas dan turut melihat kepada aspek keseimbangan antara keselamatan serta hak privasi berdasarkan tiga prinsip utama.
"Prinsip pertama, ketelusan dan akauntabiliti setiap model AI yang direka bentuk mestilah boleh diaudit dengan jelas. Kedua, privasi secara reka bentuk dan keselamatan secara reka bentuk perlindungaan kepada data peribadi perlu diambil kira sejak daripada peringkat reka bentuk algoritma dan sistem dan aplikasi AI dan bukannya ditambah kemudian.
"Ketiga, kawalan manusia yang buat masa sekarang AI masih belum boleh diberi kuasa multak, kawalan manusia mesti dikekalkan pada peringkat tertentu bagi mengelakkan kesilapan kritikal, diskriminasi dan bias," kata beliau.
Gobind berkata Pelan Tindakan AI Kebangsaan itu dibangunkan secara bersama dan kolektif turut mengambil kira aspek perundangan, antaranya Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami