Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Tidak adil kecam Malaysia cuba selesaikan isu pelarian Myanmar - PM Anwar

Anwar Hari Ikhtisas_Astro AWANI
Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh dijangka menampung ratusan ribu pelarian untuk tempoh tidak ditentukan tanpa berunding dengan pihak berkuasa Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan. - Gambar/Moganraj Villavan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tidak adil untuk mengecam Malaysia kerana cuba menyelesaikan isu pelarian Myanmar, sedangkan kerajaan sedang berusaha mencari penyelesaian secara baik dengan mengambil kira kebajikan dan hak asasi mereka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dijangka tidak boleh menampung ratusan ribu pelarian untuk tempoh tidak ditentukan tanpa berunding dengan pihak berkuasa Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Pendirian kita adalah untuk melindungi kebajikan mereka dan soal hak asasi manusia. Tetapi untuk sekadar mengecam kami kerana mengambil inisiatif ini, saya rasa ia tidak adil kerana kami sedang cuba mencari penyelesaian yang baik dan aman untuk isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Profesional (PROFEX) 2026 di Pusat Konvensyen KLGCC, di sini, hari ini.

Anwar berkata, apabila Myanmar bersetuju menerima semula sebahagian pelarian berkenaan, Malaysia sudah tentu perlu memastikan mereka dilindungi serta diberikan kemudahan yang sepatutnya.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dan dipertimbangkan bersama antara kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Myanmar.

“Untuk sekadar mengatakan ‘jangan hantar mereka pulang’, terdapat banyak juga kebimbangan di pihak kita.

“Tiada mana-mana negara yang boleh menerima ratusan ribu, dan bagi sesetengah negara, jutaan pelarian begitu sahaja. Oleh itu, anda perlu berunding,” katanya.

Menurut Anwar, beliau menerima beberapa pandangan mengenai kebimbangan pelarian terbabit untuk dihantar pulang.

Justeru, katanya, Malaysia sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik, termasuk menjemput Presiden Myanmar untuk terus berunding dan melihat parameter yang ada bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, Malaysia akan terus berhubung dan berunding dengan Myanmar kerana masalah itu sudah berlarutan selama berdekad-dekad tanpa penyelesaian, manakala jumlah pelarian terus meningkat.

“Keadaan menjadi semakin teruk dan jumlah pelarian juga meningkat.

“Saya gembira kerana Presiden (Myanmar) berbesar hati menerima jemputan untuk berbincang serta berunding,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai jaminan keselamatan pelarian berkenaan, Anwar berkata, setakat ini, itulah jaminan yang diberikan pihak Myanmar.

Beliau berkata, Malaysia bukan sekadar menghantar pelarian terbabit pulang, sebaliknya sudah mengambil inisiatif dan berusaha mencari penyelesaian melalui rundingan dengan pihak Myanmar sejak peringkat awal.

Katanya, walaupun ada pihak yang berpandangan sistem sesebuah negara tidak sempurna, banyak negara lain juga tidak sempurna namun masih diiktiraf.

“Wujud sikap hipokrasi kerana banyak negara di Barat lantang bersuara menentang kita, tetapi mereka boleh menerima kekejaman yang dilakukan oleh kerajaan Israel.

“Apakah penyelesaian yang dicadangkan oleh sebahagian organisasi ini? Biarkan mereka kekal di sini?

“Berapa ratus ribu sekarang, 200,000, lebih 300,000? Biarkan sahaja di sini?

“Jadi, kita menggunakan platform ini secara diplomatik untuk berunding,” katanya.

Malaysia hari ini mula menghantar pulang kira-kira 1,500 pelarian Myanmar dalam fasa pertama program penghantaran pulang.

Mereka adalah kumpulan pertama daripada 5,000 warga Myanmar yang bersetuju untuk pulang secara sukarela dari pusat tahanan.

Must Watch Video

Advertisement