KUALA TERENGGANU: Tiada sebarang perebutan melibatkan aktiviti pengurusan jenazah antara pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong menegaskan, penutupan sementara aktiviti pengurusan jenazah melibatkan kes kematian biasa HSNZ bermula Jumaat hanya bersifat sementara disebabkan beberapa faktor melibatkan pengurusan.

"Pengurusan jenazah biasa di HSNZ dihentikan buat sementara waktu sehingga JHEAT melalui Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dapat menyelesaikan masalahnya berkaitan jurumandi-jurumandi lantikan JHEAT.

"Mulai hari ini (Jumaat), waris boleh menghubungi pegawai di Pejabat Agama Daerah Kuala Terenganu sekiranya terdapat urusan membabitkan pengurusan jenazah yang melibatkan kematian biasa," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dr Kasemani bagaimanapun berkata, jenazah pesakit COVID-19, pesakit HIV, atau jenazah selepas bedah siasat (post mortem) serta jenazah yang ditemui reput masih diuruskan seperti biasa oleh Jabatan Forensik HSNZ.

"Penutupan aktiviti pengurusan jenazah bagi kes melibatkan kematian biasa ini hanya di HSNZ, ia bagaimanapun masih berjalan seperti biasa di hospital-hospital lain di seluruh Terengganu.

"Kita juga tidak kenakan sebarang caj terhadap penggunaan fasiliti dan utiliti melibatkan pengurusan jenazah di hospital di negeri ini," katanya.

Pada Rabu, HSNZ menerusi kenyataan rasmi dimuat naik di laman Facebooknya memberitahu, pengurusan mandian jenazah membabitkan kematian biasa di hospital terbabit ditutup sementara bermula 1 Oktober 2021 sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Kenyataan tersebut memberitahu, sekiranya khidmat pengurusan mandian jenazah biasa diperlukan, waris si mati boleh menghubungi Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.

Katanya, sebarang pertanyaan juga boleh dibuat dengan menghubungi Jabatan Forensik HSNZ di talian 09-6212121 (sambungan 2354).

Menurut laporan akhbar tempatan pada Jumaat, isu itu timbul apabila wujud dakwaan bahawa JHEAT mengeluarkan arahan supaya setiap pengurusan jenazah yang meninggal dunia di hospital atau di rumah perlu melalui jabatan tersebut.

Dakwaan itu dikatakan dimuat naik melalui laman sosial milik seorang individu sejak Rabu lalu.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian mendapatkan reaksi Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad bagi mengulas lanjut berhubung perkara tersebut pada Jumaat tidak berhasil.


*Berita penuh di Sinar Harian