KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Pemulihan Negara (MAGERAN) seperti yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan boleh menjadi pihak yang mempunyai kuasa mutlak dan tidak bertanggungjawab kepada Parlimen dan rakyat kerana mereka bukan Ahli Parlimen.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad menjelaskan disebabkan mereka yang dipilih itu bukan Ahli Parlimen, mereka tidak bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen.

Marzuki juga menjelaskan, anggota MAGERAN yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir juga bukan ahli politik yang dipilih oleh rakyat, kemungkinan juga boleh dikatakan tidak bertanggungjawab kepada rakyat.

"Mungkin untuk memberikan gambaran bahawa MAGERAN yang dicadangkan itu mempunyai ciri-ciri demokrasi, Tun Dr Mahathir mencadangkan agar segala dasar dan undang-undang yang hendak dilaksanakan mestilah dibahas dan diluluskan oleh Parlimen. Saya tidak pasti sama ada langkah ini akan berjaya.

"Adakah ahli-ahli Parlimen ini yang diketepikan daripada mengambil bahagian dalam pentadbiran negara sebagai political executive akan menyokong rang undang-undang yang dikemukakan oleh MAGERAN?" katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.

Beliau turut mempersoalkan, atas kapasiti apa anggota MAGERAN hendak membentangkan rang undang-undang di Parlimen kerana mereka bukan ahli Parlimen.

Marzuki mendakwa keadaan itu boleh menjadikan keadaan politik lebih huru-hara dan pentadbiran kerajaan terencat.

"Mungkin Bajet pun tidak boleh diluluskan dan kerajaan tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan bagi membayar gaji, melaksanakan projek pembangunan, membayar hutang dan membiayai program kebajikan rakyat," katanya lagi.

 
Sumber Facebook marzuki.mohamad.549

Pada Sabtu, Dr Mahathir menjelaskan MAGERAN yang beliau cadangkan bukan untuk menggantikan kerajaan sedia ada.

Menerusi catatan di blognya, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Majlis itu mempunyai tugas-tugas khusus, iaitu mengurangkan kes baharu sehingga terbentuknya imuniti kelompok di negara ini, serta menyelesaikan isu berkaitan seperti ekonomi, pendidikan, serta politik.

BACA: MAGERAN: Majlis Pemulihan Negara bukan untuk ganti kerajaan sedia ada - Tun Mahathir

Beliau juga menjelaskan ahli-ahli Majlis akan terdiri dari pakar-pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar-pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu Negara mengatasi krisis, pakar pelaburan yang berpengalaman.

Dr Mahathir berkata, nama-nama mereka akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Baginda, dan Ahli-ahli Majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu.