KUALA LUMPUR: Sebuah badan bebas yang dikenali dengan Jawatankuasa Tamatkan Darurat melancarkan petisyen untuk memohon agar darurat ditamatkan dengan segera.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Khalid Samad menjelaskan jawatankuasa yang diterajuinya itu tidak berhasrat mengajak rakyat untuk turun ke jalan raya sepertimana di negara lain.

Sebaliknya beliau menjelaskan Jawatankuasa Tamatkan Darurat hanya merayu rakyat yang prihatin untuk menurunkan tandatangan di laman web mereka.

"Kalau kita lihat di Myanmar lagi dahsyat tetapi rakyat Myanmar sanggup turun ke jalan raya untuk membantah tindakan yang dilakukan oleh pemerintah.

"Tetapi di sini kita bukan hendak suruh turun ke mana-mana, hanya sekadar tandatangan petisyen di laman web kami untuk zahirkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa tindakan Muhyiddin Yassin ditolak oleh rakyat," katanya pada sidang media pelancaran laman tamatdarurat.com.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menjelaskan pihaknya merayu kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin agar menyokong usaha tersebut dengan memberikan tandatangan.

Jawatankuasa tersebut berhasrat menyerahkan tandatangan memohon darurat ditamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum bermulanya Ramadan.

"Adalah hasrat jawatankuasa ini untuk mengumpul tandatangan sebanyak mana yang boleh dan menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum Ramadan ini.

"Sebagai payung negara, Yang di-Pertuan Agong perlu dimaklumkan akan bantahan rakyat jelata terhadap tindakan perdana menteri dalam soal ini (darurat)," katanya lagi.

Selain Khalid, Jawatankuasa Tamatkan Darurat itu turut dianggotai oleh Naib Presiden PKR Tian Chua, Anggota Jawatankuasa Pusat DAP Teresa Kok dan Jawatankuasa Penaja Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Mutalib Othman.

Jawatankuasa Tamatkan Darurat turut mengecam Ordinan Berita Palsu yang mula dikuat kuasa kerana ia tidak dibahaskan di Parlimen.