LIPIS: Perjalanan tiga beranak pulang ke rumah bertukar tragedi selepas ketiga-tiganya maut apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh treler dalam kemalangan di Kilometer (KM) 17, Jalan Lipis-Benta di sini pada awal pagi Jumaat.

Ketiga-tiga mangsa iaitu Nor Faizah Ridzuan, 34, beralamat Berek Polis Kok Lanas, Kelantan bersama anak kandungnya, Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman, 10, dan anak angkat Nor Faizah, Muhammad Hafiy Azman Abdullah, 3, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor memberitahu, kejadian melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan sebuah treler pengangkut kenderaan jenis Volvo.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2.25 pagi itu, hasil siasatan awal dan keterangan saksi bebas yang dijalankan mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dipandu Nor Faizah dari Kuala Lumpur menghala Kelantan.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, semasa melalui selekoh, tiba-tiba MPV itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu dirempuh oleh treler terbabit.

"Seterusnya, MPV itu diseret oleh treler yang tidak membawa muatan tersebut lalu merempuh besi penghadang jalan," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar Azli, pemandu Alza mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dada manakala dua penumpang belakang cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jelas beliau, pemandu treler berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Suami mangsa merupakan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Petaling Jaya.

"Ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis dan bedah siasat dijalankan selepas ujian swab COVID-19 diperolehi," tambah beliau.

Jelas Azli, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian