NATIONAL
Tiga bulan pendekatan advokasi sebelum penguatkuasaan harga ubat

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmasi), Azuana Ramli bercakap pada sesi taklimat media pelaksanaan pemaparan harga ubat di sini hari ini. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa selama tiga bulan dalam pelaksanaan perintah pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti.
Ringkasan AI
- KKM tidak akan mengambil tindakan segera terhadap hospital dan farmasi yang gagal mempamerkan harga ubat dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan Perintah Pemaparan Harga Ubat.
- Fokus utama dalam tempoh ini adalah penguatkuasaan pendidikan, di mana KKM akan menjalankan advokasi dan memantau pelaksanaan perintah.
- Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 bertujuan meningkatkan ketelusan harga ubat bagi memastikan pengguna mendapat maklumat yang jelas.
“Fasa tiga bulan ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya memberi peluang kepada fasiliti swasta untuk melengkapkan diri dengan kefahaman dan kemudahan yang diperlukan.
“Pendekatan ini akan bersifat advokasi, melalui latihan, panduan serta khidmat nasihat yang disediakan oleh KKM dengan kerjasama rapat KPDN,” katanya ketika sesi sidang sesi taklimat media pelaksanaan pemaparan harga ubat.
Tambahannya, sepanjang tempoh ini, pemeriksaan dan pemantauan akan memfokuskan kepada pendidikan dan bukan penguatkuasaan penuh bagi tujuan menggalakkan pelaksanaan yang lebih mampan dan inklusif sebelum tindakan penguatkuasaan sepenuhnya dilaksanakan selepas tempoh peralihan.
“Langkah ini sejajar dengan pendekatan kerajaan Madani yang mengutamakan pemahaman, penerimaan dan pemerkasaan pelaksana serta pengguna. Ia juga diharap dapat memperkukuh persefahaman antara semua pihak berkepentingan agar pelaksanaan tidak mendatangkan kekeliruan atau tekanan tidak perlu kepada fasiliti kesihatan swasta.
“Inisiatif ini bukan hanya untuk menandakan harga ubat, tetapi satu usaha nasional ke arah ketelusan harga, perlindungan pengguna dan perbelanjaan kesihatan yang lebih terkawal. Dengan pendekatan pendidikan ini, kita ingin melihat pelaksanaan yang lancar, bukan yang tergesa-gesa,” ujarnya lagi.
Semalam, KKM serta KPDN dalam kenyataan bersama memaklumkan Inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti berkuat kuasa hari ini selaras dengan komitmen Kerajaan Madani untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).
Pelaksanaan inisiatif itu bagi memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga terbaik dalam merancang perbelanjaan ubatan.
-habis-
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami