JITRA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengenal pasti tiga daerah yang merekodkan kadar kemalangan maut tertinggi di negara ini bagi tempoh Januari hingga September 2023.

Daerah Kuala Muda mencatatkan 121 kemalangan, sementara Kota Setar sebanyak 75 kes, manakala Kulim merekodkan 63 kemalangan maut.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Aman Shah Hashim berkata, berdasarkan statistik, daerah Kuala Muda bukan sahaja merekodkan kadar kemalangan maut tertinggi di Kedah malah turut berada di kedudukan pertama di Malaysia.

Katanya, ketika ini dua universiti yang menganggotai Majlis Keselamatan Jalan Raya sedang menjalankan kajian mengenai faktor yang membawa kepada banyaknya berlaku kemalangan maut di daerah itu.

"Kajian tersebut dibuat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca serta cara mengatasinya di Kuala Muda.

"Dalam masa sama kami akan mengadakan kolaborasi dengan beberapa pihak lain seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.

"Kemalangan tidak hanya berpunca dari sikap pemandu sebaliknya turut disebabkan oleh pelbagai faktor lain termasuk keadaan kenderaan dan jalan raya.

"Maka kami akan terus berusaha membawa kesedaran kepada pengguna jalan raya melalui pelbagai program antaranya kempen kesedaran, advokasi dan dialog antara pelbagai pihak," katanya.

Foto Astro AWANI

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Penukaran Topi Keledar JPJ Kedah sempena Program Kedah Ambang Sejahtera 2024 di Tasik Darul Aman di sini, malam tadi.

Sebanyak 684 topi keledar percuma diedarkan kepada orang ramai yang melakukan pertukaran dengan membawa topi keledar lama atau rosak milik mereka, ke reruai disediakan JPJ.

Sementara itu, Aman Shah berkata, program penukaran topi keledar tersebut mendapat sambutan cukup menggalakkan dari orang ramai.

Katanya, kuota pendaftaran bagi 684 topi keledar yang dibuka secara dalam talian pada 26 Disember lalu, penuh dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Foto Astro AWANI

"Hal berkaitan topi keledar ini perlu dipandang serius kerana pemakaian topi keledar yang betul dan selamat boleh mengurangkan kecederaan kepala hingga 70 peratus dan mengurangkan risiko kematian hingga 40 peratus bersandarkan data dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Di Kedah, sebanyak 1,753 saman dikeluarkan sepanjang 2023 berkaitan kesalahan melibatkan pemakaian topi keledar.

"Jumlah itu meningkat sebanyak 159 peratus berbanding 676 saman yang dikeluarkan pada 2022," katanya.

Beliau turut memaklumkan, secara keseluruhannya sebanyak 135,962 saman dikeluarkan di Kedah bagi pelbagai kesalahan pada 2023.

"Jumlah itu meningkat sebanyak 49 peratus berbanding 91,237 saman yang dikeluarkan pada 2022," katanya.

Gambar fail/Astro AWANI