KUALA TERENGGANU: Seramai tiga individu di Terengganu termasuk seorang peniaga wanita mengalami kerugian berjumlah RM20,040 akibat terperdaya dengan penipuan pinjaman tidak wujud, sepanjang minggu lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata ketiga-tiga mangsa telah melihat iklan mengenai pinjaman wang pada laman Facebook dan tertarik dengan tawaran yang diberikan sebelum bersetuju untuk membuat pinjaman.

Beliau berkata mangsa kemudiannya diminta membuat pelbagai bayaran ke beberapa akaun bank bagi mendapatkan wang pinjaman, namun mereka tidak menerima wang pinjaman yang dimohon.

"Bagi kes pertama mangsa merupakan seorang kontraktor (lelaki) berumur 41 tahun telah membuat permohonan pinjaman RM10,000 dan mengalami kerugian RM4,100.

"Mangsa kedua pula berumur 37 tahun yang merupakan seorang peniaga (wanita) telah memohon pinjaman RM60,000 dan mengalami kerugian RM8,400.

"Bagi kes ketiga pula mangsa merupakan seorang operator (lelaki) berumur 33 tahun telah memohon pinjaman RM60,000 dan mengalami kerugian RM7,540," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazli berkata sehubungan itu orang ramai diingatkan supaya menyemak nama syarikat, syarat sah pemberi pinjam wang berlesen dan prosedur bagi pinjaman wang yang sebenar, bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, selain membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk pengesahan syarikat pinjaman wang.

-- BERNAMA