Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai aktif sejak dua bulan lalu di Lembah Klang dalam serbuan berasingan di ibu negara pada 18 Ogos lalu.

Turut dirampas dadah jenis Methamphatamine dan Ketamin seberat lebih tiga kilogram bernilai lebih RM200,000 serta wang tunai bernilai lebih RM3,000.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon, operasi itu berjaya ditumpaskan hasil risikan dan serbuan yang turut membawa kepada penangkapan enam dalang sindiket termasuk empat wanita warganegara Thailand.

"Bertindak atas maklumat pada 18 Ogos lalu, jam lebih kurang 3.30 petang dalam operasi khas, sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur telah menahan seorang lelaki berumur 24 tahun di sebuah rumah di Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai 200 biji pil dadah disyaki Eramin Five," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Hasil siasatan lanjut suspek pertama membawa kepada penangkapan suspek kedua berusia 45 tahun di Jalan Hang Tuah 2, Taman Salak Selatan.

Pemeriksaan menemui 2,000 biji pil disyaki jenis Eramin Five serta wang tunai lebih RM3,000.

"Hasil soal siasat yang dijalankan dengan maklumat diterima pada jam 5.35 petang,18 Ogos lalu. Serbuan dilakukan di sebuah unit kondominium di Salak Selatan, Kuala Lumpur membawa kepada penangkapan empat wanita warganegara Thailand.

"Kesemua suspek berusia diantara 31 hingga 38 tahun, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah jenis Methamphetamine seberat 1,033 gram, Ketamin seberat 2,065 gram dan 1,000 biji pil Ecstasy," katanya.

Seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 24 Ogos depan untuk disiasat dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.