KUALA TERENGGANU: Tiga lagi kes serangan ubur-ubur dilaporkan berlaku serentak di pantai Bukit Keluang dekat Besut pada Jumaat lepas.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata kesemua mangsa mengalami simptom yang sama iaitu gatal-gatal dan merah di bahagian badan yang terkena sengatan.

"Kejadian pertama berlaku pada 3.50 petang iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di kawasan pesisir pantai, manakala kes kedua pula berlaku pada 5.30 petang melibatkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

"Sejam kemudian, seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun pula terkena sengatan di kawasan yang sama. Kesemua mereka stabil selepas menerima rawatan dari anggota pasukan penyelamat pantai pertahanan awam Besut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, sebanyak lima kes serangan ubur-ubur dilaporkan berlaku di Besut sejak dua bulan lepas iaitu di Pantai Bukit Keluang dan Pulau Rhu.

Bagaimanapun Ramlan Ros berkata pengunjung tidak perlu bimbang dan takut kerana kawasan pantai ini adalah selamat untuk sebarang aktiviti dan petugas penyelamat pantai Besut akan sentiasa memantau keadaan pantai agar pengunjung selamat untuk mandi-manda.

"Amaran juga akan dikeluarkan kepada orang ramai dengan mengibarkan bendera merah di lokasi berkaitan bagi mencegah pengunjung melakukan aktiviti air untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

-- BERNAMA