BATU PAHAT: Tiga lelaki ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas dipercayai menyamun sebuah rumah di Yong Peng, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata ketiga-tiga lelaki tempatan berusia antara 33 dan 44 tahun itu, ditahan ketika serbuan di dua lokasi berbeza di Simpang Renggam, Kluang, pada kira-kira 2 pagi tadi.

Beliau berkata ia susulan laporan polis dibuat seorang lelaki warga asing yang mendakwa disamun ketika tidur di sebuah rumah dalam kejadian pada 4 pagi Rabu lepas.

"Mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM4,000, hilang beberapa barangan peribadi selain sebuah kereta jenis Proton Iswara turut dilarikan.

"Hasil siasatan polis, kereta yang dilaporkan hilang ditemui di Simpang Renggam sekali gus membawa kepada penangkapan tiga lelaki berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata sisatan lanjut mendapati kesemua yang ditahan mempunyai kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Mereka direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397/379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan," katanya.

-- BERNAMA