KUANTAN: Tiga lelaki melecur dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah yang dijadikan tempat membaiki motosikal di Alor Akar di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata hampir 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Indera Mahkota serta Taman Tas terlibat dalam operasi berkenaan selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.24 malam.

Beliau berkata kesemua mangsa berusia lingkungan 20-an itu yang melecur di beberapa anggota badan dan kaki telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk menerima rawatan lanjut.

"Kejadian itu turut mengakibatkan rumah berkenaan, dua kereta iaitu Honda Stream dan Perodua Kancil serta 10 motosikal hangus," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Salahuddin berkata punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA