KUANTAN: Tiga wanita maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van milik syarikat keselamatan di Kilometer 84 Jalan Lipis-Merapoh di Lipis hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Azli Mohd Noor berkata nahas yang berlaku pada 2.30 petang itu menyebabkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat cedera parah di kepala dan dada.

Mereka ialah Mariam Ariffin, 41, dan Che Mazenah Hussin, 61, kedua-duanya dari Kuala Lipis serta merupakan penumpang belakang kereta terlibat.

Seorang lagi, Rosnani Md Daud, 28, yang merupakan isteri pemandu Toyota Corolla Altis itu, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta itu, yang dalam perjalanan dari Merapoh ke Lipis, terbabas ke bahu kiri jalan semasa hendak mengelak sebuah motosikal yang keluar dari sebuah rumah di tepi jalan secara tiba-tiba.

"Kereta itu kemudian dikatakan berpusing masuk ke laluan bertentangan menyebabkan ia bertembung dengan van syarikat keselamatan yang tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu kereta, Wan Mohd Azizol Wan Daud, 35, pula dilaporkan patah tangan kiri dalam nahas yang menyebabkan kenderaan itu remuk manakala van keselamatan terbalik.

Azli berkata pemandu van Mohd Sofiean Hamzah, 42, cedera ringan di muka manakala rakan sekerjanya Mohd Zairi Razalan, 62, patah kaki kanan dan Jamsemi Rozi Mohd Taib, 41, patah kaki kiri.

Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA