Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pemain bola sepak Malaysia Indian Football Association (MIFA) kerana disyaki telah mengambil wang rasuah daripada bookie sebagai habuan untuk menentukan keputusan perlawanan bola sepak Liga Perdana.

Kesemua suspek ditahan di pejabat SPRM ketika hadir untuk memberi keterangan sekitar 6 petang sehingga 7.30 malam semalam.

Daripada siasatan awal yang diperolehi, suspek telah menerima wang rasuah antara RM10,000 hingga RM30,000 daripada bookie untuk menentukan keputusan perlawanan.

Salah seorang pemain yang ditahan adalah pemain luar negara berusia 29 tahun yang diimport oleh MIFA.

Manakala dua lagi pemain tempatan yang ditahan berusia 26 and 27 tahun.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek-suspek telah terlibat dalam kegiatan tersebut sejak beberapa tahun yang lalu.

Suspek-suspek ini juga telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit hasil daripada wang rasuah diterima itu.

Tambahnya, kemungkinan lebih ramai lagi yang akan ditangkap berhubung siasatan kes tersebut pada masa terdekat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata SPRM tidak bertolak ansur dengan perbuatan sedemikian yang boleh menjatuhkan reputasi sukan negara.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, SPRM akan terus memantau dan menyiasat pemain-pemain bola sepak serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perlu," tegas beliau.

Kesemua mereka direman hari ini.