KUALA KANGSAR: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Rabu atas tuduhan melakukan rompakan barang kemas, menyebabkan kerugian RM1.4 juta, tiga minggu lalu.

Tertuduh, R Gunasellan, 52; AF Adrian Raj Dominic, 29, dan R Anandan, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, tiga rakan yang beralamat di Klang, Selangor itu, bersama enam lagi yang masih bebas, telah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata parang panjang terhadap dua lelaki, berupa pelbagai barang kemas bernilai RM1.4 juta.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Jalan Dato Maharajalela, Kuala Kangsar kira-kira jam 9.40 pagi, 6 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan menawarkan jaminan RM30,000 setiap seorang mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.

Peguam A Tulasi yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan paling minimum memandangkan kesemua tertuduh telah berkahwin dan mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dan perlu melaporkan diri ke balai polis sekali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 29 Disember depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding sama, mahkamah mengenakan denda RM2,500 dan pengawasan oleh pihak polis selama dua tahun ke atas Gunasellan dan Anandan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan mereka.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara jam 3 petang hingga 3.20 petang pada 7 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun.