SHAH ALAM: TikTok Malaysia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya membantu mempromosikan kandungan video Perikatan Nasional (PN) hingga ia tular dan mendapat jutaan tontonan.

Ketua Dasar Awam Tiktok Malaysia, Hafizin Tajudin berkata, pihaknya hanya mempromosikan sebahagian kecil video untuk membantu mempelbagaikan pengalaman kandungan serta memperkenalkan selebriti dan pencipta baru dalam komuniti TikTok.

"Bagaimanapun, kami tidak membenarkan iklan politik di platform, yang diperkukuhkan lagi melalui perubahan dalam dasar akaun kerajaan, ahli politik dan parti politik (GPPPA) yang dibuat tahun lalu.

''Untuk itu, kami tidak membenarkan iklan berbayar yang mempromosikan atau menentang calon, kerajaan, pemimpin semasa, parti politik atau kumpulan, atau isu di peringkat persekutuan, negeri atau tempatan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, seorang pemilik akaun Twitter berkongsi satu video yang mendakwa moderator TikTok boleh membantu menjadikan sesuatu kandungan video tular selain terdapat bekas staf di TikTok yang merupakan ahli PN.

Mengenai bekas pekerja yang berkhidmat sebagai penyederhana kandungan, Hafizin menegaskan, penyederhana kandungan mereka tidak mempunyai sebarang kuasa atau akses kepada sebarang bentuk alat promosi untuk kandungan.


Hafizin Tajudin

"Kami mempunyai sistem jaminan kualiti yang mantap untuk memastikan bahawa pendapat politik atau peribadi pekerja kami tidak menjejaskan kualiti dan etika kerja mereka, termasuk semasa melaksanakan tugas penyederhanaan kandungan.

''Keputusan penyederhanaan kandungan TikTok adalah berdasarkan satu set garis panduan komuniti yang ditakrifkan dengan jelas dan mempunyai lapisan semak dan imbang termasuk jaminan kualiti dan penyemak fakta pihak ketiga, untuk menegakkan keselamatan dan memastikan keadilan secara sederhana," ujarnya.

Hafizin memberitahu, TikTok menangani kandungan dan tingkah laku yang melanggar garis panduan komuniti mereka melalui gabungan dasar, teknologi dan kesederhanaan.

"Oleh itu, kami menyederhanakan semua kandungan, termasuk ekspresi politik, secara neutral berdasarkan garis panduan komuniti kami dan akan mengambil tindakan untuk mengalih keluar atau menjadikannya tidak layak untuk suapan 'Untuk Anda' jika didapati melanggar garis panduan komuniti kami.

''Kami tetap komited kepada misi kami untuk menyediakan pengalaman yang selamat dan positif untuk ahli komuniti kami berhubung dan berkongsi kreativiti mereka,'' tegas beliau.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.