Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hari ini mengesahkan pihaknya telah menahan seorang Timbalan Ketua Polis Balai (TKPB) di daerah Muar semalam kerana dipercayai mencabul dua anggota sukarelawan polis wanita, antara Rabu hingga Jumaat lalu.

Suspek merupakan seorang pegawai polis berpangkat Sarjan dan berusia 55 tahun.

Dia kini direman bagi siasatan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Cubaan Cabul), kita akan jalankan siasatan selengkap-lengkapnya. Kalau didapati ada asas untuk tuduh anggota saya ke, pegawai saya ke, pasti akan ditangkap.

“Tidak ada tolak ansur. Ini yang ambil kesempatan anggota atau pegawai perempuan saya ingat (dilakukan) pada bulan puasa,” katanya di sini hari ini.

Adalah dipercayai, mangsa dicabul sewaktu pegawai itu bertugas bersama kedua-duanya di sebuah balai polis bergerak.

Ketika itu mereka ditugaskan untuk memantau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar Muar.