SEPANG: Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja empat hari ke Malaysia.

Pesawat komersial yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini pada 8.55 malam dan disambut oleh Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Mohd Aini Atan.

Lawatan kerja Kalbuadi Lay akan memperkukuh dan mempertingkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara di samping menunjukkan sokongan padu Malaysia ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN.

Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Kalbuadi Lay di Istana Negara pada Selasa.

Kalbuadi Lay akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof esok, bagi membincangkan status hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste serta isu-isu antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste yang juga Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar itu akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia iaitu Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

Berdasarkan rekod pada 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan Timor-Leste adalah berjumlah RM384.48 juta (AS$90.2 juta), dengan peningkatan sebanyak 93.3 peratus berbanding 2021 iaitu sebanyak RM194.09 juta (AS$46.6 juta).

-- BERNAMA