GENEVA: Semenanjung Gaza yang dihujani bom sejak tujuh bulan lalu dipenuhi timbunan sisa runtuhan struktur pada skala amat dahsyat berbanding Ukraine yang dilanda peperangan lebih dua tahun lalu.

Data sehingga pertengahan April lalu dikeluarkan Perkhidmatan Tindakan Periuk Api Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMAS) menganggarkan sisa runtuhan di Gaza berjumlah 37 juta tan atau 300 kilogram untuk setiap meter persegi.

“Ia adalah perbezaan yang ketara antara Kiev dengan barisan hadapan sepanjang hampir 1,000 kilometer (km) manakala Gaza hanya sepanjang 40km,” kata ketua program UNMAS di wilayah Palestin, Mungo Birch.

Menurutnya, ia bukanlah satu-satunya masalah ketika ini.

“Puing-puing itu berkemungkinan besar dicemari dengan ordnans tidak meletup atau UXO. Proses pembersihan dijangka menjadi lebih rumit kerana bahaya lebih teruk yang terdapat pada sisa runtuhan tersebut,” jelas Birch ketika sidang akhbar di Geneva.

Dianggarkan, lebih 800,000 tan asbestos sahaja bertimbun di seluruh wilayah terkepung itu dan penggunaan mineral penyebab barah dalam projek pembinaan memerlukan langkah berwaspada lebih ketat untuk dikendalikan.

Selain itu, kira-kira 10 hingga 15 peratus peluru dipercayai tidak meletup selepas impak dan ia menjadi ancaman kekal kepada orang awam.

Birch berharap UNMAS yang berfungsi untuk mengurangkan ancaman ditimbulkan semua jenis senjata akan menjadi badan penyelaras bagi operasi pembersihan sisa di Gaza.

Ia telah memperoleh pembiayaan berjumlah AS$5 juta (RM24 juta), namun dana tambahan AS$40 juta (RM190 juta) diperlukan untuk meneruskan projek itu bagi tempoh 12 bulan akan datang.

Data UNMAS menunjukkan 65 peratus struktur di Gaza yang musnah adalah kediaman penduduk dan ia memerlukan kira-kira 100 trak untuk tempoh selama 14 tahun bagi kerja pembersihan secara menyeluruh.

“Metodologi tentang usaha tersebut masih dibincangkan memandangkan operasi tersebut sedang dalam perancangan,” ujar Birch lagi.

Penilaian tepat mengenai situasi di Gaza agak mustahil terutamanya di kawasan utara memandangkan pertempuran ganas masih berterusan dan kini memasuki bulan kelapan dan telah meragut hampir 34,600 nyawa penduduk Palestin.

Pada pertengahan bulan lalu, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Ukraine disokong oleh pembiayaan dari Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun mengumumkan penyediaan peralatan pengurusan sisa penting kepada lebih 19 komuniti di seluruh Kiev.

Inisiatif itu bertujuan menangani cabaran penduduk terjejas perang dengan membantu mereka untuk membuang dan memproses sisa runtuhan secara efisien. - Sinar Harian