Tindakan khusus diperlukan, atasi kekurangan pelajar lelaki - Raja Muda Kedah

Baginda bertitah, langkah berkenaan amat penting dalam memastikan negara mencapai perwakilan yang lebih seimbang dalam sistem pendidikan, susulan peningkatan menggalakkan kemasukan pelajar wanita. - Gambar/ UUM
SINTOK: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, satu tindakan khusus perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah kekurangan kemasukan pelajar lelaki ke institusi pengajian tinggi.
Ringkasan AI
- Tindakan khusus perlu dilaksanakan bagi atasi kekurangan kemasukan pelajar lelaki ke institusi pengajian tinggi, menurut titah Raja Muda Kedah.
- Peningkatan kemasukan pelajar wanita menyebabkan jurang ketara di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan 70% wanita berbanding 30% lelaki.
- Pendidikan tinggi perlu menekankan penglibatan akademik pelajar lelaki dengan bimbingan khusus, serta memupuk panduan inklusif bagi mencapai perwakilan seimbang dalam sistem pendidikan.
"Kepentingan pendidikan tinggi perlu ditekankan sejak di peringkat sekolah,dengan meningkatkan penglibatan akademik pelajar lelaki melalui bimbingan serta sokongan khusus, dan memupuk panduan yang inklusif dari segi jantina bagi memperluas pilihan bidang pengajian dan kerjaya.
"Langkah-langkah ini amat penting untuk mencapai perwakilan yang lebih seimbang dalam sistem pendidikan," titah baginda ketika menyampaikan titah ucapan Pro-Canselor UUM bersempena Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM di Dewan Mu'adzam Shah, Sintok pada Isnin.
Tambah baginda, ilmu pengetahuan yang diperoleh di peringkat pengajian tinggi akan menjadi asas yang kukuh buat para graduan namun kemahiran yang dipupuk selepas ini akan menentukan nilai diri masing-masing.
Tengku Sarafudin Badlishah turut mengingatkan bahawa kejayaan diperoleh bukan hanya diukur melalui hasil yang dicapai tetapi prinsip yang dipertahankan.
"Dalam mempertahankan prinsip itu, anda perlu lakukan perkara yang benar walaupun tiada siapa yang memerhati. Inilah yang dinamakan integriti, dan beta percaya ia akan menjadi aset paling berharga dalam hidup anda.
"Dalam dunia yang penuh godaan untuk mengambil jalan mudah, dan tekanan yang boleh menggugat nilai diri, integriti inilah yang akan menjadi landasan yang mengekalkan anda di jalan yang benar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


