IPOH: Tindakan lebih tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah haram di bandar raya ini, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Tegas Rumaizi, perincian berhubung tindakan yang akan dikenakan kepada pelaku akan dinyatakan selewat-lewatnya minggu depan, memandangkan ia sedang diperhalusi sebelum dilaksanakan.

"Nanti kita (MBI) akan keluarkan kenyataan... mungkin minggu depan. Tapi kita memang pasti akan ambil tindakan lebih tegas berhubung isu ini (sampah haram).

"Kita akan ambil tindakan tapi tunggu minggu depan, perkara ini serius, bukan boleh dipandang sebagai isu kecil," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pelepasan 2 Unit Lori Rigid- Sampah (Compactor) di pekarangan bangunan MBI pada Jumaat.

Terdahulu, ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI bulan Julai, rata-rata Ahli Majlis yang terbabit membangkitkan isu sampah haram yang tidak berkesudahan, termasuk anjing liar serta banjir kilat di Ipoh.

Ada di antara Ahli Majlis mahu pelaku kepada isu sampah haram dikenakan tindakan lebih tegas bagi membanteras masalah itu daripada berulang, meskipun sampah itu sudah dikutip.

Antara pendekatan yang disuarakan ialah mengenakan kompaun yang lebih tinggi kepada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah haram, sekali gus mampu menyelesaikan isu tersebut secara tuntas.

Cadangan itu kemudiannya disokong oleh Ahli Majlis lain, yang berpendapat dengan cara itu sahaja pihak terbabit akan lebih berhati-hati dan tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Pada majlis tersebut, Rumaizi telah melancarkan tambahan dua unit lori sampah compactor baharu.

Ia telah diserahkan kepada MBI pada hujung bulan Julai, menjadikan sebanyak empat unit lori baru yang telah dibeli bagi tahun ini.

Jumlah perbelanjaan bagi dua unit lori itu adalah RM797,000, yang mana kos ini adalah lebih murah daripada sebelumnya disebabkan perubahan beberapa spesifikasi.