Tindakan multirateral Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam isu hubungan dengan Beijing dan Washington berkenaan aspek berkenaan Laut China Selatan menjamin kedaulatan negara di mata antarabangsa.

Penganalisis undang-undang antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof Dr Rahmat Mohamad berkata, langkah Menteri Luar itu mempertahankan hak negara tanpa menyebabkan mana-mana negara melihat kecenderungan Malaysia kepada mana-mana dua negara kuasa besar berkenaan.

“Tindakan Hishammuddin merupakan langkah multilateral yang tidak memberi tekanan kepada mana-mana pihak, kita berkawan dengan semua pihak termasuk China dan Amerika Syarikat (AS).

“Dalam erti kata begitu, kita kena menjalankan hak dan kedaulatan. Kita negara kecil dan tidak ada sebab untuk berlaga-laga.

“Kita kena berkawan dengan semua kuasa besar dunia, kalau kita meletakkan diri di satu-satu pihak, ia tindakan yang tidak bagus,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

BACA: Pertama kali dalam sejarah pakatan AS-UK di Laut China Selatan

BACA:
Hishammuddin akan hubungi AS, China isu Laut China Selatan

Hishammuddin di dalam sebuah portal antarabangsa sebelum ini menegaskan tidak mahu Malaysia diseret dan terperangkap dalam pergolakan geopolitik antara kuasa besar.

Ia renteten isu bahawa Asia Tenggara mungkin menghadapi pilihan yang tidak menyenangkan untuk memilih antara blok yang dipimpin Washington atau Beijing.

Hishammuddin juga dilaporkan berkata isu tuntutan sempadan maritim di Laut China Selatan tidak boleh disalahgunakan sebagai punca untuk memecah-belahkan negara-negara ASEAN.

Beliau berkata dalam menghadapi kuasa besar, ASEAN harus bersatu padu sebagai sebuah blok supaya segala kekuatan bersama dapat diterjemahkan secara efektif.

Kata Dr Rahmat, Malaysia juga mempunyai polisi antarabangsa yang memerlukan negara berbaik-baik dengan semua pihak.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi di dalam catatan di laman Facebooknya memberitahu, tindakan Hishammuddin sebelum ini yang menghubungi Menteri Luar China dan Setiausaha Amerika Syarikat merupakan langkah mengurangkan ketegangan geopolitik dalam keadaan seluruh dunia sedang bergelut dengan pandemik COVID-19.

“Penegasan Hishammuddin di Parlimen bahawa Sabah akan kekal sebagai milik Malaysia serta usaha beliau menghubungi Menteri Luar China Wang Yi dan Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo semuanya berlaku dalam masa 24 jam.

“Sesungguhnya diplomasi ialah barisan pertahanan kita yang pertama,” jelasnya.